PUTRAJAYA, 24 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menegaskan tindakan dan penguatkuasaan ke atas bot nelayan asing (BNA) perlu kembali kepada pendekatan asal iaitu penahanan bagi membanteras kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sekaligus dapat mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan kerajaan, APMM telah melaksanakan pendekatan pengusiran dan amaran keras ke atas BNA dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara.
Namun, aktiviti pencerobohan bot nelayan asing khususnya daripada Vietnam dilihat semakin meningkat sepanjang tempoh PKP ini.
“Pemantauan oleh aset udara Maritim Malaysia mendapati terdapatnya kapal-kapal induk atau mothership vessel BNA Vietnam di luar sempadan perairan negara yang membekalkan sumber makanan dan bahan bakar serta hub pengumpulan tangkapan hasil laut negara.
“Amat menyedihkan lagi apabila terdapat BNA yang menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan atau ‘bot klon’ bagi mengaburi penguat kuasa yang didalangi oleh nelayan tempatan sendiri,” jelasnya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya. hari ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som ketika sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya. Foto: AirTimes/Azuwan
Mohd Zubil berkata sebelum ini APMM telah mengenakan hukuman penjara atau denda maksimum RM1 juta dan RM500,000 kepada tekong serta kru bot yang ditahan. Namun mereka lebih memilih untuk dikenakan hukuman penjara dari membayar denda tersebut.
“Sehubungan itu, APMM akan mengusulkan cadangan kepada Jabatan Perikanan untuk meningkatkan lagi denda,
“Pihak kami mencadangkan hukuman yang lebih berat seperti sebatan dikenakan ke atas kru BNA agar menjadi pengajaran kepada mereka untuk tidak sewenang-wenangnya menceroboh perairan negara,” tegasnya.
APMM telah dipertanggungjawabkan untuk mengkoordinasikan Op Naga termasuk aset-aset bersama agensi penguatkuasaan lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan serta lain-lain agensi berkaitan. -airtimes.my