PUTRAJAYA, 3 Mac – Terdapat tujuh kes terbaharu jangkitan virus COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 36 kes direkodkan di negara ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata daripada 36 kes tersebut, 22 kes (61.1 peratus) daripadanya sudah sembuh sepenuhnya. Manakala 14 kes masih lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.
Taklimat berkaitan COVID-19 telah disampaikan oleh petugas Kementerian Kesihatan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di pejabatnya hari ini.
Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri berpuas hati dengan Agensi Kerajaan yang telah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan penularan wabak COVID-19,
“Beliau turut mengarahkan agar Pasukan Petugas Khas terus memantau status dan usaha-usaha pencegahan penularan COVID-19 bagi memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia,
“Perdana Menteri turut menasihatkan seluruh rakyat agar tidak membuat pembelian panik dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan seperti mana yang telah digariskan,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin telah mengadakan taklimat bersama Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Akram Yaakob; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mokhtar Abd Rahman; Ketua Pengarah Kesihatan (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.
Sehingga pagi tadi, jumlah keseluruhan positif COVID-19 adalah sebanyak 90,306 kes yang melibatkan 70 buah negara dilaporkan.
Sebanyak 45,603 (50.5 peratus) kes sembuh manakala 3,084 (3.4 peratus) kematian dicatatkan.