Home Semasa Imigresen nafi lakukan operasi di kawasan kuil

Imigresen nafi lakukan operasi di kawasan kuil

by Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia menafikan laporan sebuah akhbar bahawa jabatan itu melakukan operasi penguatkuasaan di dalam kawasan ibadat Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves pada Jumaat lepas, sebaliknya ia dijalankan di kawasan perniagaan sekitar perkarangan kuil itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud juga berkata jabatan itu sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan penuh tanggungjawab dan secara berintegriti, adil serta saksama.

“Setiap operasi yang dilakukan oleh jabatan ini sentiasa mematuhi Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen mengenai Tatacara Pengendalian Operasi Penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Berhubung operasi di Batu Caves itu, beliau berkata pihaknya menerima aduan melalui memorandum oleh badan bukan kerajaan (NGO) mengenai warga asing yang berniaga di gerai-gerai perkarangan kuil berkenaan.

Selain itu, jabatan itu turut menjalankan risikan dan mendapati terdapat warga asing yang berniaga di kawasan terbabit.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing di Batu Caves.

Berhubung dakwaan pihak imigresen tidak mengambil tindakan di pasar-pasar borong, Khairul Dzaimee berkata setakat 14 Februari tahun ini, sebanyak 21 operasi  dilaksanakan dengan 138 orang diperiksa dan 89 pendatang asing tanpa izin telah ditangkap.

Manakala, sepanjang tahun lepas, 726 pendatang asing tanpa izin serta 54 majikan telah ditahan sepanjang 133 operasi di pasar-pasar borong sekitar Lembah Klang.

“Namun begitu, terdapat juga warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah untuk bekerja di lokasi tersebut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jabatan Imigresen telah memeriksa 28,994 individu melalui 2,292 operasi penguatkuasaan di seluruh negara sehingga 14 Februari lepas bagi mengesan pendatang tanpa izin.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 7,760 pendatang tanpa izin serta 135 majikan telah ditahan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply