KUALA LUMPUR, 11 FEB- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, bertitah menegaskan sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara berbilang kaum.
Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
Menurut beliau, setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai tersebut demi kepentingan bersama dan kesejahteraan negara.
Baginda turut menegaskan, semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub, termasuk dalam perkara penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat.
“Isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong,” titah Baginda.
Dalam hantaran tersebut, Sultan Ibrahim turut berkongsi pengalaman Baginda pada Januari 2018 di Johor, di mana Baginda bertindak sebagai pendamai bagi menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam,” titah Baginda.
Selain itu, titah Baginda lagi, Islam menekankan prinsip saling hormat – menghormati antara sesama manusia serta tidak menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan dan ibadat masing-masing.
“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi,”.
Menurut Baginda, sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat perlu diselesaikan melalui saluran sah dengan memahami dan menghormati undang-undang negara.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di Istana Negara hari ini.
Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara. – airtimes.my
