KUALA LUMPUR, 24 MAC – Kekeliruan maklumat mengenai status Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Presiden Kongres India Malaysia (MIC), M Saravanan menegaskan, salah faham ini berpunca daripada maklumat yang tidak lengkap atau kurang tepat yang diterima oleh sesetengah pihak.
Ujarnya, umat Islam menganggap rumah ibadat tersebut ‘kuil haram’ kerana tidak mendapat maklumat sebenar.
“Kalau saya berada di tempat orang Islam, saya pun akan marah. Saya tak salahkan mereka. Ini kerana mereka tidak mendapat gambaran sebenar mengenai sejarah dan kedudukan rumah ibadat ini,” katanya dalam sidang media di pekarangan kuil pada Ahad.
Beliau menjelaskan, kuil berkenaan telah wujud lebih 100 tahun di lokasi tersebut dan tidak pernah dipindahkan seperti yang didakwa segelintir pihak.
Menurutnya, pada tahun 2006, hanya sebahagian kecil struktur kuil terpaksa diubah bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bukan keseluruhan kuil dirobohkan atau dipindahkan ke lokasi lain.
“Rumah ibadat ini dah lebih 100 tahun dan ia tak pernah dirobohkan,
“Pada 2006 terdapat kerja melebarkan jalan, lalu kuil ini diminta robohkan bahagian dapur dan bahagian tempat tinggal sami bagi membolehkan kerja tersebut dijalankan,” tambahnya.
Katanya, salah faham ini timbul apabila ada pihak yang menganggap kuil itu dibina secara haram, sedangkan status tanah dan sejarahnya telah lama wujud.
“Jika kuil itu terletak di atas tanah haram, bagaimana ia boleh mendapat sambungan bekalan air dan elektrik,” luahnya.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, tanah ini memang di bawah hak milik DBKL sebelum ini. Namun, ia tidak pernah menjadi tanah wakaf atau dimiliki mana-mana pihak secara individu.
Malah, segala keputusan yang dibuat adalah hasil rundingan bersama sejak dahulu lagi.
Sehingga kini, perbincangan antara pemilik tanah, Jakel Trading Sdn Bhd bersama pihak pengurusan kuil sedang berjalan bagi mencari penyelesaian terbaik dan ditangani secara “menang-menang”.
“Saya harap semua pihak dapat memahami fakta sebenar. Henti cakap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman ini kuil haram,” ujarnya. – airtimes.my
#Kuil #DBKL #MIC #wakaf #tanahharam #AirTimes #Malaysia #Agama