KUALA LUMPUR, 17 Dis – Beijing menyifatkan tindakan Malaysia menuntut kawasan pelantar benua melangkau jarak 200 batu nautika dari darat sebagai satu tindakan yang ‘mencabarkedaulatan China’.
“Tindakan Malaysia menghantar nota tuntutan tersebut adalah melanggar hak, kedaulatan dan kuasa China di Laut China Selatan,” tegas Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu memo yang dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.
Memo tersebut turut mendesak pihak PBB untuk menolak permohonan Malaysia yang dilihat sebagai satu tindakan yang serius dan mencabar hak China.
“China mempunyai hak kedaulatan terhadap gugusan kepulauan di Laut China Selatan yang merangkumi Dongsha Qundau (Pulau Pratas), Xisha Qundao (Kepulauan Paracel), Zhongsha Qundao (Kepulauan Zhongsha) dan Nansha Qundao (Kepulauan Spratlys),
“China mempunyai hak perairan zon ekonomi esklusif dan pentas benua yang berpusat di pulau-pulau di Laut China Selatan dan China mempunyai hak sejarah terhadap kawasan tersebut,” tegasnya dalam memo tersebut yang menyatakan tuntutan China adalah selari dengan peraturan antarabangsa.
Terdahulu, Malaysia telah menghantar notis tuntutan kawasan pelantar benua melangkau jarak 200 nautika dari darat pada 12 Disember lalu kepada Jawatankuasa Mengenai Had Pelantar Benua (CLCS).
Dalam memo tersebut, Malaysia mengemukakan tuntutan baki pentas benua negara selepas melakukan tuntutan bersama dengan Vietnam pada tahun 2009.