Home Semasa Tun Mahathir tidak faham kenapa Singapura tidak mahu jambatan baharu

Tun Mahathir tidak faham kenapa Singapura tidak mahu jambatan baharu

by Bernama

JOHOR BAHRU, 1 Nov – Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa hairan dengan keengganan Singapura untuk berkompromi dengan cadangan Malaysia untuk pembinaan jambatan baharu bagi mengatasi masalah kesesakan yang berlarutan di Tambak Johor.

Perdana Menteri berkata Singapura mengambil pendirian itu meskipun negara itu menikmati ‘subsidi’ harga air dari Malaysia sejak 1962.

Beliau berkata pembinaan projek Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Baharu-Singapura akan hanya meredakan sedikit kesesakan di Tambak Johor.

“Anda lihat, kami sanggup mengorbankan wang untuk menyokong Singapura supaya mereka boleh membeli air dengan harga murah tetapi apabila kita mahu membina sebuah jambatan untuk mengatasi masalah trafik, mereka enggan untuk mengadakan jambatan. Saya tidak tahu kenapa.

“Saya tidak ada pada tahun 3000. Pada masa itu, akan ada 100 juta penduduk di Johor yang ingin pergi ke Singapura…masih tidak akan ada jambatan baharu. Saya tidak dapat melihat bagaimana kita boleh begitu bertolak ansur kepada Singapura tanpa negara itu bertolak ansur dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ), Bangunan Sultan iskandar (BSI) di sini, hari ini.

Dr Mahathir juga menjelaskan dengan bilangan rakyat Malaysia dari Johor Baharu yang ulang-alik dari Singapura dengan menaiki motosikal, maka sukar bagi mereka untuk menggunakan perkhidmatan RTS.

Selain itu, katanya, walaupun mempunyai perkhidmatan yang lebih cekap di BSI, ia tidak dapat menangani masalah sebenar kesesakan khusus semasa hujung minggu dan musim perayaan.

“Kita mempunyai beberapa idea untuk mengurangkan kesesakan di bangunan ini tetapi itu tidak mencukupi…jika sampai musim raya dan hujung minggu..kita akan hadapi kesesakan berterusan..

“Walaupun kita dapat tingkatkan tahap kecekapan..tetapi selagi tidak ada jambatan, kita tidak dapat selesaikan masalah di Tambak Johor,” kata beliau.

Mengikut laporan berita baru-baru ini, jumlah pelawat yang melalui BSI pada hari biasa adalah seramai 250,000 orang manakala untuk kereta antara 40,000 hingga 50,000 buah, motosikal melibatkan 70,000 buah manakala lori atau bas antara 3,000 hingga 5,000 buah.

Menyentuh mengenai isu semakan semula harga air, Malaysia berharap agar rundingan antara kedua-dua negara berhubung isu itu dapat diteruskan secepat mungkin.

“Kita tidak dapat berbincang perkara ini kerana tidak dapat menentukan tarikh perbincangan jadi ..satu hari kita tak bincang perkara ini..kita kerugian berjuta-juta malah meningkat kepada bilion ringgit.

Pada awal April lalu, kedua-dua negara bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama.

Melalui Perjanjian Air 1962, Singapura dibenarkan mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Sementara, Johor kemudiannya membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap gelen. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply