Home Pertahanan dan Keselamatan Eksesais Pahlawan uji keberkesanan, kecekapan anggota dan aset ATM

Eksesais Pahlawan uji keberkesanan, kecekapan anggota dan aset ATM

by Air Times News Network

LUMUT, 31 Okt – Buat julung kalinya latihan yang melibatkan penggunaan sistem simulasi dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disatukan dalam Eksesais Pahlawan Siri 16/2019.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany yang mewakili Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, eksesais yang dilaksanakan secara Latihan Pos Perintah (Command Post Exercise-CPX) dan Latihan Medan (Field Training Exercise-FTX) adalah untuk meningkatkan keupayaan merancang dalam melaksanakan operasi oleh ATM.

“Antara objektif yang digariskan sempena pelaksanaan eksesais ini adalah untuk menilai ATM dalam melaksanakan operasi secara bersama, menilai doktrin yang digunakan, menguji keberkesanan aset ATM dan meningkatkan tahap profesionalisme anggota ATM,

“Eksesais Pahlawan pada kali ini adalah amat bertepatan kerana ia adalah sejajar dengan hasrat ATM untuk menjadikan tahun 2019 sebagai tahun latihan dan penjajaran,” kata Mohd Reza dalam Upacara pembukaan Eksesais Pahlawan Siri 16/2019 di Pangkalan TLDM, Lumut hari ini.

Menurut Mohd Reza, penglibatan Joint Regional Command North (JRCN) yang bertindak sebagai Pelaku Biru pada kali ini selari dengan hasrat dan halatuju ATM untuk membentuk pemerintahan bersama mengikut wilayah bagi menghadapi situasi masa hadapan.

“Eksesais yang membabitkan 2,314 pegawai dan anggota ini juga berbeza dengan eksesais sebelumnya dimana pada kali ini senario yang dibangunkan adalah berkonsepkan Peperangan Konvensional (conventional warfare) dan Peperangan Asimetri (asymetric warfare) yang mana lebih merupakan ancaman semasa yang sedang dihadapi oleh kesemua negara,

“Eksesais yang bermula 23 Oktober lalu akan memberikan pengalaman dan pengajaran yang berkesan kepada semua yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata latihan seumpama ini adalah platform terbaik bagi menguji dan mengemas kini setiap prosedur, publikasi, proses kerja dan sitem pemerintahan Operasi Bersama.

Dalam masa yang sama, Panglima Tentera Laut turut menyempurnakan upacara pemakaian Toha kepada pengendali eksesais ini yang terdiri daripada Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah dan Inspektor Jeneral ATM, Laksamana Madya Mohd Hatim Saad.

Eksesais yang akan berakhir pada 7 November ini turut melibatkan beberapa lokasi latihan iaitu bagi CPX dilaksanakan di Pangkalan TLDM, Lumut, manakala FTX yang melibatkan atur gerak trup dan komponen akan dilaksanakan di beberapa lokasi di sekitar Lumut dan Selat Melaka.

Related Articles

Leave a Reply