Home Semasa Hina institusi Raja: Bekas Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia ditahan dibawah Akta Hasutan

Hina institusi Raja: Bekas Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia ditahan dibawah Akta Hasutan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan Bekas Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath kerana dipercayai menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di laman sosial, semalam.

Berita penahanan beliau telah dinyatakan oleh Setiausaha Pemuda PSM, Gandipan Nantha Gopalan, semalam.

“Khalid telah ditahan pada 10.30 malam di rumahnya di Klang dan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” kata Gandipan dalam akaun rasmi Twitter beliau.

Sementara itu, Bernama melaporkan penahanan Khalid telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah. Difahamkan, beliau telah ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata pihak polis telah menerima satu laporan kes menghina institusi Raja-raja. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948, oleh USJT, Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

 

Related Articles

Leave a Reply