Home Semasa Aplikasi MyWC mudahkan pengguna mencari tandas awam

Aplikasi MyWC mudahkan pengguna mencari tandas awam

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melancarkan aplikasi mudah alih MyWC (My Water Closet) bagi memudahkan masyarakat untuk mencari tandas awam dengan bantuan sistem penentu kedudukan global (GPS) dan berdasarkan jarak dari pengguna.

Aplikasi mudah alih ini telah dibangunkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin semasa Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Pelancaran Aplikasi MyWC di Putrajaya.

“MyWC ini telah mula diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2018 bersempena Hari Tandas Sedunia,

“Aplikasi ini juga membantu masyarakat untuk mencari tandas dalam jarak terdekat serta meningkatkan mutu disiplin masyarakat dalam menggunakan kemudahan awam” jelas Zuraida dalam ucapan perasmian majlis.

MyWC telah ditawarkan di Google Play Store dan tinjauan mendapati aplikasi ini telah dimuat turun lebih 100 kali.

Antara maklumat yang dipaparkan pada aplikasi MyWC.

Menurut Bernama, sebanyak 2,625 buah tandas telah dimuat naik ke aplikasi MyWC itu yang merangkumi tandas awam milik pihak berkuasa tempatan (PBT), perhentian awam, sekolah, restoran, stesen minyak, kawasan pelancongan, pusat beli-belah dan pejabat kerajaan di seluruh negara.

Aplikasi ini membantu pengguna untuk mencari tandas awam yang berada dalam lingkungan 6 kilometer persegi dari kedudukan pengguna dengan bantuan GPS. Selain menunjukkan jarak, aplikasi ini juga turut membantu pengguna dari sudut perjalanan ke lokasi tandas dengan bantuan aplikasi lain seperti GoogleMaps dan Waze.

Selain memberi penarafan bintang, aplikasi ini turut memberi maklumat pengguna tentang kemudahan lain yang terdapat pada setiap tandas seperti keperluan orang kurang upaya dan kemudahan bilik tukar lampin bayi.

Related Articles

Leave a Reply