Home Semasa Kehadiran Zakir Naik memalukan Malaysia, sudah tiba masanya untuk halau pelarian jenayah keluar – Menteri

Kehadiran Zakir Naik memalukan Malaysia, sudah tiba masanya untuk halau pelarian jenayah keluar – Menteri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran hari ini menyatakan isu penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

“Zakir Naik perlu diambil tindakan kerana mempersoalkan kesetiaan masyarakat Hindu di Malaysia dan sengaja menyentuh sensitiviti masyarakat pelbagai kaum. Maka, tindakan sewajarnya perlu diambil,

“Tindakan Zakir Naik tidak mencerminkan status seorang rakyat bertaraf penduduk tetap dan mempunyai pengetahuan yang sedikit dalam sejarah Malaysia,” kata Kula dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut menteri, Zakir telah cuba menimbulkan kekacauan antara kaum dan agama di negara ini dengan cara mengeluarkan kenyataan kontroversi semata-mata untuk mendapatkan sokongan komuniti Islam di negara ini untuk terus membenarkan dirinya tinggal di Malaysia sebagai penduduk tetap.

Beliau menambah, penceramah tersebut merupakan orang luar yang mempunyai pengetahuan yang sedikit mengenai sejarah Malaysia.

“Zakir adalah orang luar dan merupakan pelarian jenayah, yang mempunyai pengetahuan sedikit mengenai sejarah Malaysia. Dia tidak seharusnya cuba mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia kepada negara,

“Undang-undang negara adalah sekular dan mampu untuk menjamin kebaikan untuk semua pihak,

“Walau terdapat ahli politik yang cuba bermain sentimen perkauman, Malaysia tetap dalam keadaan stabil. Adakah wajar rakyat Malaysia berpecah-belah kerana seorang lelaki bernama Zakir Naik?” soal Kula.

Beliau menambah, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia bersatu dan berkerjasama di antara satu sama lain untuk memastikan keamanan serta kestabilan negara terjaga.

Selain daripada itu, Kula turut mendakwa kenyataan Zakir Naik semasa ceramah di Kota Bharu mempunyai kaitan dengan taktik UMNO-PAS untuk memecahbelahkan gabungan kerajaan Pakatan Harapan.

“Sudah tiba masanya untuk pelarian jenayah tersebut untuk keluar dari Malaysia dan hadapi pengadilan di India,” tegas Kula dalam kenyataan beliau.

Terdahulu, Dr Zakir Naik dilaporkan telah menyatakan kesetiaan masyarakat India di Malaysia adalah lebih cenderung kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding kepada negara sendiri. Beliau didakwa menyatakan perkara tersebut semasa sesi ceramah di Kota Bharu, Kelantan.

Kenyataan beliau sekaligus mendapat perhatian ahli politik tanah air termasuk veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa kerajaan Malaysia untuk menilai semual status Zakir Naik yang mendapat status penduduk tetap di negara ini.

Dr Zakir Naik, penceramah kontroversi kelahiran Mumbai telah mendapat taraf penduduk tetap di Malaysia pada tahun 2015.

Sebelum ini, kerajaan India turut mengemukakan permohonan ekstradisi Zakir atas tuduhan jenayah gubahan wang haram dan hasutan ekstremisme di negaranya. Namun begitu, permohonan tersebut ditolak oleh Putrajaya kerana khuatir Zakir tidak mendapat pengadilan sewajarnya di India.

Related Articles

Leave a Reply