Home Semasa Pencemaran bekalan air adalah sabotaj – Menteri

Pencemaran bekalan air adalah sabotaj – Menteri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan insiden pencemaran minyak diesel pada sumber air mentah Sungai Selangor adalah satu tindakan sabotaj.

“Kejadian yang mengakibatkan empat loji air di Sungai Selangor ditutup semula secara berperingkat dan membebankan pengguna boleh dianggap sebagai satu tindakan sabotaj,” kata Xavier dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam semalam.

Menurut beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara sedang menjalankan siasatan terperinci tentang punca pencemaran yang menyebabkan 4 loji rawatan air di Selangor dihenti tugas.

Dalam kenyataan yang sama, Xavier menjelaskan bahawa pihak beliau telah menghubungi Menteri Besar Selangor dan Ketua Polis Negara.

“Dua kejadian pencemaran dalam tempoh kurang tiga hari tidak boleh dipandang sewenangnya,

“Saya ingin memastikan bahawa dalang di sebalik insiden ini dapat diberkas dan dihukum dengan berat di bawah akta-akta yang sedia ada,” tegas Xavier.

Semalam, pencemaran minyak diesel telah dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) dan LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Pencemaran tersebut sekaligus menyebabkan penutupan keempat-empat loji tersebut secara berperingkat dan menyebabkan gangguan bekalan air berskala besar.

Related Articles

Leave a Reply