Home Pertahanan dan Keselamatan Atur gerak pasukan tentera tangani pencemaran kimia tunggu arahan Majlis Keselamatan Negara

Atur gerak pasukan tentera tangani pencemaran kimia tunggu arahan Majlis Keselamatan Negara

by M.Daim

PULAU PINANG, 22 Jul – Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Dr Md Amin Muslan menyatakan atur gerak pasukan tentera untuk menangani ancaman pencemaran bahan kimia adalah bergantung kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau menggulas mengenai kemungkinan pasukan tentera untuk diaturgerak untuk menangani insiden pencemaran kimia seperti di Pasir Gudang.

“Atur gerak pasukan CBRN adalah berdasarkan arahan dari Majlis Keselamatan Negara melalui Markas Angkatan Tentera Malaysia,

“Ini terutamanya apabila Arahan MKN Nombor 20 diaktifkan,” jelas Dr Md Amin semasa menghadiri  Capability and Readiness Exercise (CaREx) Chemical, Biological, Radiological, Nuclear (CBRN) Siri 1/2019 di Kem Sungai Ara, semalam.

Pada Mac lalu, Tentera Darat Malaysia telah mengatur gerak  12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNe) bagi menangani insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. Operasi tersebut merupakan operasi yang pertama buat 12 Skuadron RAJD (CBRNe) semenjak penubuhannya pada tahun 2007.

Atur gerak pasukan tentera pakar CBRNe tangani pencemaran kimia bergantung kepada arahan oleh Majlis Keselamatan Negara melalui Markas Angkatan Tentera Malaysia. Foto: Markas ATM

Arahan MKN Nombor 20 adalah menyentuh dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara.

Menurut Dr Md Amin, pasukan pakar CBRN dari Tentera Darat Malaysia telah dilatih khusus untuk menangani ancaman persenjataan CBRN.

“Tim ini dilatih khusus untuk menangani ancaman persenjataan CBRN yang agak berbeza dengan pencemaran bahan kimia,

“Walau bagaimanapun, prinsip-prinsip penekanan ancaman kimia boleh digunakan dalam isu tersebut,” jelasnya.

Beliau menambah, persenjataan kimia yang dikelaskan bawah kategori CBRN  adalah dikelaskan sebagai Senjata Pemusnah Besar-besaran (Weapon of Mass Destruction, WMD).

“Bahan kimia yang digunakan adalah amat toksik dan direka untuk membunuh banyak nyawa dalam satu-satu masa,” ujar beliau.

 

Related Articles

Leave a Reply