RAMALLAH, 7 Mac – Mutaz Bisharat, seorang pegawai yang memantau aktiviti penempatan di Tubas dan Lembah Jordan memaklumkan, Zionis telah memotong bekalan air penduduk Palestin di perkampungan Berdala di Lembah Jordan.
Memetik berita Agensi, Tindakan tentera Zionis memotong bekalan air telah menjejaskan 60 peratus penduduk kampung Berdala yang berjumlah sekitar 2,600 orang.
Menurut Mutaz, tentera Israel turut memotong bekalan air yang disalurkan ke kawasan tanah pertanian di kawasan terbabit dimana Israel mendakwa berlaku penyambungan paip haram oleh penduduk Palestin di perkampungan itu.
“Ini adalah penindasan berterusan Israel. Mereka potong bekalan air untuk penduduk Palestin, tetapi terus membina kolam takungan untuk peneroka haram Yahudi,” katanya.
Justeru, beliau meminta masyarakat antarabangsa dan organisasi hak asasi manusia supaya campur tangan bagi menghentikan pencabulan Zionis terhadap penduduk Palestin.