ABU DHABI, 4 Feb – Pemimpin besar Katolik, Paus Francis tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, dalam rangka lawatan bersejarah selama dua hari ke Semenanjung Arab.
Menurut laporan berita AFP, Francis dijadual bertemu dengan ulama utama Islam dan akan mengendalikan upacara gereja yang dijangka dihadiri 135,000 jemaah.
Ketibaan beliau disambut Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed diiringi Imam Universiti Al-Azhar Kaherah, Sheikh Ahmed al-Tayeb.
Francis akan mengambil bahagian dalam satu persidangan antara agama hari ini bersama dengan Sheikh Ahmed.
Beberapa jam sebelum kembali ke Rom esok, beliau akan memimpin satu upacara gereja terbuka di stadium Zayed Sport City, Abu Dhabi, perhimpunan terbesar yang dianjurkan di UAE, menurut media tempatan.