WASHINGTON, 4 Feb – Satu kenyataan yang dikeluarkan Pentagon semalam menyatakan, Amerika Syarikat (AS) akan mengerahkan 3,750 tentera tambahan ke sempadan Mexico, berikutan desakan Presiden Donald Trump untuk membina tembok diteruskan bertujuan meningkatkan keselamatan di sempadan.
“Jabatan Pertahanan akan mengerahkan kira-kira 3,750 anggota bagi menyediakan sokongan tambahan kepada Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) di sempadan barat daya seperti diluluskan oleh pemangku Setiausaha Pertahanan, Patrick M. Shanahan, 11 Januari lalu,” menurut satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, penambahan berkenaan adalah untuk tempoh tiga bulan menjadikan jumlah keseluruhan anggota di sempadan AS-Mexico kepada 4,350 orang.
Tugas mereka antara lain termasuk melakukan pengawasan secara mudah alih sehingga menjelang akhir September 2019, selain memasang kawat duri keselamatan sepanjang 241 kilometer di antara pintu masuk.
Kenyataan itu dibuat menjelang tarikh akhir 15 Februari untuk Kongres bersetuju membiayai pembinaan tembok sempadan, sebahagian daripada ikrar Trump dalam kempen pilihan rayanya.