Home Semasa Polis Sarawak sahkan terima laporan lima rakyat Malaysia diculik anggota TNI

Polis Sarawak sahkan terima laporan lima rakyat Malaysia diculik anggota TNI

by Air Times News Network

KUCHING, 24 Dis – Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof mengesahkan polis ada menerima laporan pada 12 Dis lepas mengenai penculikan lima lelaki rakyat Malaysia oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) di hutan Wong Rangkai berhampiran sempadan Serian-Kalimantan.

Memetik laporan Bernama, Azman berkata ini berikutan laporan di balai polis Serian oleh tiga orang yang dibebaskan pada 12 Disember setelah proses rundingan.

Menurut laporan akhbar tempatan dua pembalak telah dibebaskan pada hari insiden itu berlaku 11 Disember.

Beliau berkata polis kini menunggu laporan daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi menentukan kedudukan mereka ketika kejadian itu berlaku.

“Laporan bagi menentukan sama ada kelima-lima mereka menjalankan aktiviti pembalakan di dalam sempadan Malaysia atau Indonesia ketika kejadian itu, dijangka diketahui dalam beberapa hari lagi,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau juga mengesahkan bahawa ketika kejadian pembalak itu telah dibawa ke pos komando tentera Indonesia di Sungai Enteli di Kalimantan.

Akhbar tempatan semalam melaporkan bahawa lima pembalak rakyat Malaysia berusia antara 15 dan 64 tahun diculik di hutan berhampiran Kampung Danau Melikin, kira-kira 400 meter dari sempadan Serian-Kalimantan pada 11 Disember.

Dilaporkan bahawa rakyat Malaysia itu ditahan oleh beberapa orang bersenjata yang berpakaian seragam tentera yang mendakwa mereka telah menebang pokok di kawasan hutan dan memaksa mereka memandu merentasi sempadan Kalimantan.

Berikutan itu Malaysia telah menghantar satu nota bantahan ke Jakarta yang mengutuk perlakuan buruk dan penahanan warganya oleh pasukan keselamatan Indonesia. Nota bantahan itu dihantar melalui kedutaan Indonesia di sini Jumaat lalu.

Related Articles

Leave a Reply