Home SemasaGlobal Tsunami Selat Sunda : Jumlah terkorban cecah 222 orang

Tsunami Selat Sunda : Jumlah terkorban cecah 222 orang

by Air Times News Network

JAKARTA, 23 Dis – Jumlah mangsa yang maut dalam kejadian tsunami yang melanda banten di Jawa Barat, Indonesia Sabtu malam meningkat kepada 222 orang, 843 cedera dan 28 mangsa masih lagi hilang dalam tragedi berkenaan.

Memetik laporan Bernama, berdasarkan data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat petang semalam, korban akibat tsunami itu kini seramai 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.

“Tidak ada korban warga negara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan kerosakan ini meliputi di 4 kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memasuku semua kawasan yang terjejas akibat tsunami itu.

Sementara itu Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukannya akibat susulan berlakunya gempa bumi.

“Ini suatu kes yang tidak biasa, bahawa tsunami tanpa gempa. Jadi gejalanya ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau,” katanya.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata tsunami yang berlaku jam 9.27 malam tadi itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci sebab berlakunya tsunami itu.

Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba.

Related Articles

Leave a Reply