Home SemasaGlobal Pembangkang menang pilihanraya Presiden Maldives

Pembangkang menang pilihanraya Presiden Maldives

by Noor Sheila Amin

MALE, 24 Sep – Pemimpin pembangkang Maldives, Ibrahim Mohamed Solih yang menentang Presiden Abdulla Yameen dalam kempen pilihan raya sengit, berkata beliau menang pilihan raya presiden, semalam dengan perbezaan 16 peratus, selepas 92 peratus undi siap dikira.

Keputusan awal untuk 446 daripada 472 peti undi menjelang 1943 GMT menunjukkan pembangkang mendahului dengan perbezaan 16.6 peratus, lapor laman berita Mihaaru.

“Ini adalah saat kegembiraan, satu harapan. Ia satu perjalanan yang berakhir di peti undi kerana kuasa rakyat. Mesej ini lantang dan jelas, rakyat mahu perubahan, keamanan dan keadilan.

“Saya menggesa Presiden Yameen mengiktiraf kehendak rakyat dan memulakan peralihan kuasa seperti diperuntukkan dalam perlembagaan,” kata Soleh yang popular dengan nama ‘Ibu’ di Male.

Ratusan penyokong berkumpul di luar pusat kempen pembangkang utama di Male sambil melaungkan “Ibu, Ibu dan Ibu” serta menggesa Yameen supaya mengaku kalah.

Suruhanjaya pilihan raya negara Lautan Hindi itu melanjutkan waktu pengundian selama tiga jam kerana ramai berbaris panjang di pusat membuang undi.

Pegawai daripada parti Yameen, PPM memaklumkan keputusan dari kawasan kuat beliau masih belum diumumkan.

“Menang atau kalah, PPM mempunyai keberanian untuk menerima keputusan rakyat Maldives,” kata ketua parlimen parti pemerintah, MP Ahmed Nihan di Twitter.

Suruhanjaya pilihan raya negara itu berkata, ia akan menerbitkan keputusan rasmi menjelang 30 September depan sebagai mana ditetapkan perlembagaan.

Related Articles

Leave a Reply