Home PolitikPakatan Harapan Tindakan tegas terhadap Jho Low perlu disegerakan – KDN

Tindakan tegas terhadap Jho Low perlu disegerakan – KDN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Tindakan undang-undang perlu disegerakan bagi mengheret ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low ke muka pengadilan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pihaknya sudah mempunyai maklumat yang cukup dan semua pihak mengetahui bahawa Jho Low merupakan antara penjenayah yang menyebabkan skandal 1MDB menjadi salah satu skandal terbesar di dunia.

“Saya tak kata ingin mendahului peraturan undang-undang tapi dalam kes ini yang dah jelas dan nyata pihak-pihak terbabit (berkuasa) dah dinamakan (Jho Low) maka tindakan tegas dari sudut undang-undang dan tindakan sewajarnya kena diambil sekadar segera.

“Ada rakyat beritahu dah tiga minggu kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) bentuk kerajaan, mereka masih tanya kenapa tidak ada tindakan yang diambil kepada pihak terbabit dalam kes yang saya sebut tadi (1MDB).

“Saya kata tunggulah sikit, tapi ada pihak tak boleh tunggu. Saya harap tindakan tegas boleh kita ambil dalam tempoh ‘semalam’ bukan hari ini, tapi sebab dalam kes ini kita tak boleh nak elak diri kita dari ambil tindakan yang seberapa segera,” katanya.

Muhyuddin berkata demikian dalam ucapannya di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, skandal-skandal seperti 1MDB yang dilaporkan kepada polis serta agensi-agensi lain tidak boleh diketepikan dan tindakan segera perlu diambil.

Sementara itu, Muhyiddin berkata KDN komited dalam menangani rasuah kerana ia tanggungjawab yang telah diamanahkan rakyat.

Jelas Muhyiddin, pada pilihan raya umum lalu (PRU) lalu, rakyat bertindak mengubah kerajaan kerana menolak amalan rasuah yang berlaku.

“Kami bila terpilih (jadi kerajaan) akan memerangi rasuah ke akar umbi dan sokongan luar biasa kerana rakyat tahu ini barah dan mereka tahu jika rasuah tak diuruskan rakyat menanungung derita, kos pengurusan negara jadi mahal dan bebanannya rakyat tanggung kerana hasil cukai dari rakyat.

“Kalau yang diamanahkan oleh rakyat adalah kita dan kita tak tanggungjawab dan tak urus dengan baik, rakyat akan marah. PRU lalu, rakyat tukar kerana rakyat marah (pada amalan rasuah),” katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berkata berdasarkan komitmen tersebut pihaknya terbuka sekiranya dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk sebarang siasatan.

“Komitmen HARAPAN tentukan isu rasuah ditangani secara setegas-tegasnya.

“SPRM boleh datang ke kementerian kita bila-bila masa dan boleh semak siapa sahaja, kita tak akan halang dan sekat kalau ada asas yang kukuh,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply