Home SemasaGlobal Pertemuan Donald Trump, Kim Jong Un diteruskan?

Pertemuan Donald Trump, Kim Jong Un diteruskan?

by Noor Sheila Amin

WASHINGTON, 28 Mei – Sebuah pasukan dari Rumah Putih dijadualkan pergi ke Singapura pada hujung minggu ini untuk melakukan persiapan, jika pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berlaku.

Perkembangan itu dimaklumkan jurucakap Rumah Putih semalam, selepas pemimpin Korea Selatan, Moon Jae In mengadakan pertemuan mengejut dengan Jong Un di kampung perdamaian Panmunjom di sempadan kedua-dua negara Korea.

Difahamkan, pertemuan kedua-dua pemimpin Korea itu dilakukan untuk membincangkan bagaimana persidangan Trump dengan Jong Un berjalan dengan lancar dan berjaya.

Terdahulu, majalah Politico melaporkan pasukan awal Rumah Putih dan Jabatan Negara AS yang membabitkan 30 pegawai sedang melakukan persiapan untuk berlepas pada hujung minggu ini.

Khamis lalu, Trump membatalkan persidangan dengan Jong Un, selepas pegawai Korea Utara mencabar AS supaya mempamer kekuatan, selepas Naib Presiden AS, Mike Pence berkata, jika persidangan dengan Pyongyang gagal, negara itu akan menerima kesan seperti Libya.

Namun, susulan kenyataan Korea Utara pada hari berikutnya yang menyatakan kesediaan negara itu berunding dengan AS menyebabkan Trump membayangkan kemungkinan bahawa persidangan itu akan diteruskan. – Reuters

Related Articles

Leave a Reply