Rantau Indo-Pasifik terutamanya kawasan Laut China Selatan pada ketika ini berada dalam pemerhatian antarabangsa. Semenjak tahun 2022, pelbagai perkembangan di rantau ini berikutan pertembungan pengaruh antara Amerika Syarikat dan China.
Situasi ini mungkin tampak baharu, hakikatnya, ia umpama era Perang Dingin yang diiringi dengan perkembangan teknologi serta media sosial.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan penjualan jet pejuang F-16 oleh Washington kepada Amerika Syarikat.
Melihat kepada laporan oleh Reuters, aspek perolehan F-16 dan juga sistem persenjataan dari Barat merupakan antara perbincangan utama di antara kedua-dua bekas seteru sewaktu era Perang Dingin.
Vietnam, yang sebelum ini menjadi musuh ideologi Amerika Syarikat, telah bergantung sepenuhnya dengan teknologi persenjataan Rusia dan China. Ini berikutan sekatan penjualan persenjataan yang dikenakan oleh Washington pasca Perang Vietnam.
Selepas beberapa dekad dikenakan sekatan, Amerika Syarikat pada era pemerintahan Presiden Obama telah mula melonggarkan larangan terhadap Hanoi secara berperingkat mulai 2014. Kelonggaran ini merupakan sebahagian daripada langkah normalisasi hubungan antara kedua-dua negara.
Pada tahun 22 Mei 2016, Obama telah menamatkan sekatan terhadap Vietnam secara penuh. Penamatan sekatan ini sekaligus membolehkan Vietnam untuk melakukan perolehan persenjataan dari negara Barat.
Pembangunan selepas pasca sekatan
Pelbagai perkembangan pertahanan dapat dilihat pada Vietnam selepas pemansuhan sekatan oleh Washington.
Antara perolehan pertama yang dilakukan oleh negara itu adalah pembelian sistem pertahanan udara jarak sederhana, SPYDER-MR keluaran Israel Aerospace Industries (IAI).
Tentera Udara Vietnam turut menyuarakan minat mereka untuk dengan beberapa calon jet pejuang keluaran beberapa buah negara Barat pada tahun 2015.
Anataranya, Eurofighter Typhoon, Dassault Rafale, General Dynamics F-16 and Saab Gripen E/F.
Vietnam turut menerima pelbagai hibah termasuklah 12 buah bot peronda Metal Shark dan 2 buah kapal cutter kelas HAMILTON yang telah diserahkan kepada Pasukan Pengawal Pantai Vietnam (Vietnam Coast Guard)
Selain daripada itu, VCG akan menerima 6 buah kapal peronda dari Jepun selepas menandatangani perjanjian dengan e Japan International Cooperation Agency (JICA). Perjanjian bernilai US$350 juta itu dibuat bagi membiayai pembinaan keenam-enam kapal tersebut.
Perolehan Hanoi dari Amerika Syarikat pula melibatkan pembelian UAV Insitu ScanEagle dan pesawat latihan Beechcraft T-6 Texan II.
India pula memainkan peranan penting dalam pengurangan kebergantungan Vietnam kepada Rusia.
Industri pertahanan negara Asia Selatan itu telah terlibat dalam pelbagai kontrak pertahanan di Vietnam. Antaranya tingkat upaya kapal frigat kelas PETYA, naik taraf kereta kebal T-54 dan T-55 serta helikopter M-17/MI-18.
Selain daripada itu India turut memberikan latihan kepada anggota tentera Vietnam dalam mengendalikan jet pejuang Sukhoi Su-30 dan kapal selam kelas KILO.
Pada Julai lalu, India mengumumkan penyerahan kapal kovet INS KIRPAN kepada Vietnam. Ia merupakan pertama kali buat New Delhi untuk menyerahkan kapal yang masih beroperasi kepada negara luar.
Bagaimana dengan Rusia?
Melihat kepada data yang dikeluarkan oleh Stockholm International Peace Research Institute, import dari Rusia telah merangkumi 81.6 peratus daripada perolehan Vietnam dari negara luar.
Perolehan dari negara kuasa besar itu turut melibatkan pemindahan teknologi. Sebagai contoh, misil KCT-15 yang dihasilkan oleh Vietnam adalah hasil daripada pemindahan teknologi dari Moskow.
KCT-15 merupakan misil anti kapal yang dibangunkan oleh Vietnam. Pembangunan misil adalah berasaskan Kh-35UE yang dihasilkan secara berlesen di Hanoi. KCT-15 telah membawa kepada pembangunan CVM-01, misil kruis anti kapal pertama yang dihasilkan oleh negara Asia Tenggara itu.
Perolehan secara berperingkat 36 buah Su-30Mk2 pada 2003, 2009 dan 2010 merupakan antara kontrak perolehan Vietnam yang pernah menjadi tumpuan global. Pada tahun 2018, Rusia mula melaksanakan penghantaran secara berperingkat 64 buah kereta kebal T-90S/SK kepada Vietnam.
Pada awal 2020, Vietnam telah meterai kontrak perolehan US$350 juta bagi membeli 12 buah jet latihan Yak-130. Perolehan ini dilihat sebagai langkah awal oleh Hanoi untuk memperolehi jet pejuang Su-30SM dan Su-35.
Rusia dan Vietnam telah bersetuju untuk mempertingkatkan tahap kerjasama dalam perdagangan dan teknologi ketenteraan pada Disember 2021. Kenyataan bersama oleh Moskow dan Hanoi menjelaskan perjanjian yang dimeterai akan mempertingkatkan kerjasama strategik yang komprehensif antara kedua-dua negara pada 2030.
Pun begitu, penaklukan Rusia terhadap Ukraine pada tahun 2022 telah mengubah banyak senario dunia. Moskow telah dikenakan pelbagai sekatan termasuk ekonomi, tenaga dan juga perbankan antarabangsa.
Sekatan ini sudah tentu menyukarkan perolehan pertahanan Vietnam dari Rusia.
Perdagangan rahsia dengan Moskow
New York Times melaporkan Vietnam telah mengadakan perdagangan secara rahsia dengan Moskow. Ia melibatkan protokol pembayaran dagangan persenjataan dengan menggunakan pemindahan transaksi minyak dan gas. Vietnam dan Rusia mempunyai kerjasama operasi sumber tenaga itu di Siberia.
Laporan eksklusif oleh akhbar barat itu berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan Vietnam yang bertarikh Mac 2023.
“Kandungan dokumen telah disahkan oleh bekas dan pegawai kerajaan Vietnam yang masih berkhidmat,
“Dokumen ini mencadangkan pembayaran perolehan pertahanan dari Rusia melalui transaksi di usaha niaga Rusvietpetro,” kata laporan itu.
Menurut New York Times, Vietnam sedang berusaha untuk melakukan rundingan perolehan pertahanan baharu dengan Moskow sebagai tanda kepercayaan strategik “ketika Rusia menghadapi sekatan oleh negara-negara Barat”.
Semenjak berlakunya penaklukan Rusia terhadap Ukraine, Vietnam telah mengambil langkah neutral dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga mengundi untuk tidak bersetuju mengantungkan keahlian Moskow dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.
Pada Ogos lalu, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu menyifatkan Vietnam merupakan rakan strategik negara kuasa besar itu di rantau ini.
Antara F-16 dan CAATSA
Pendedahan yang dilakukan oleh New York Times sedikit sebanyak memberikan bayangan percaturan Vietnam dalam mengimbangi pengaruh Rusia dan Amerika Syarikat.
Hanoi pada ketika ini dilihat lebih terbuka dan mengadakan hubungan seimbang dengan negara-negara kuasa besar termasuk China.
Pun begitu, perolehan F-16, sekiranya benar, mungkin akan menjadi jalan persimpangan buat Vietnam. Tambahan pula, laporan perdagangan rahsia antara Hanoi dan Moskow serba sedikit akan menggugat langkah Vietnam untuk melakukan modenisasi angkatan tenteranya dengan aset dari Barat.
Namun, perkara ini bergantung dengan kebijaksanaan Vietnam dalam menentukan hala tuju mereka. Ini kerana, pembelian atau perolehan dari Iran, Korea Utara dan Rusia akan membawa kepada sekatan baharu di bawah Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA) yang digubal pada era Donald Trump.
CAATSA telah pun dikenakan beberapa buah negara termasuk China dan Turkiye. Kedua-dua negara ini melakukan perolehan sistem persenjataan dari Moskow.
Implikasi CAATSA telah mendatangkan kesan kepada Turkiye yang menyebabkan negara itu dikeluarkan dari program jet pejuang generasi ke-5, F-35.
Jika dilihat dari sudut Washington pula, mereka memerlukan Vietnam dalam mengimbangi pengaruh China di Asia Tenggara.
Melihat semula analisis pakar pertahanan China yang membantah penjualan F-16 kepada Vietnam, sudah tentu Washington perlu mencari jalan alternatif untuk mengadakan rundingan dengan Hanoi. -airtimes.my
#Vietnam #Analisis #F16 #Rusia #Hanoi #Moskow #T90