CANBERRA, 23 Mei – Seorang pengarah pencarian dasar laut penerbangan Malaysia Airlines 370 (MH370) semalam, tidak bersetuju dengan rumusan sebuah buku baharu bahawa juruterbangnya menerbangkan pesawat itu di luar kawasan pencarian dan sengaja menenggelamkannya di kawasan tidak diteroka di Lautan Hindi.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) percaya, pesawat itu kemungkinan kehabisan minyak dan terhempas selepas terbang di luar laluannya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.
Ia percaya, kesemua 239 penumpang dan kru di dalamnya sekian lama sudah mati dalam kabin dan kokpit tanpa tekanan.
Pengarah carian itu, Peter Foley, yang menyelaras pencarian bagi pihak Malaysia, ditanya jawatankuasa Senat Australia berkaitan teori itu dalam buku baharu ditulis penyiasat nahas udara Kanada, Larry Vance bertajuk, ‘MH370: Mystery Solved’, dalam laporan di portal Arab News.
Buku itu mendakwa, dua sayap pesawat yang ditemui di luar sebuah pulau Afrika pada 2015 dan 2016 menuding kepada juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang sengaja melencongkan pesawat di luar 120,000 kilometer persegi pencarian sonar berharga A$198 juta (RM595.30 juta), berakhir Januari 2017.
Katanya, sasaran Zaharie ialah memastikan pesawat sebahagian besarnya utuh supaya dapat lenyap sepenuhnya di lautan selatan terpencil.
Foley, yang berkata sudah membaca buku itu, menuding kepada bukti pesawat itu tidak berada dalam kawalan sesiapa apabila terjunam ke dalam air.
Beliau berkata, analisis transmisi satelit saat akhir pesawat menunjukkan, jet itu sedang menjunam dalam keadaan laju dan memecut sehingga ke akhirnya.
Serpihan bahagian dalaman pesawat ditemui hanyut di pantai barat Lautan Hindi, mencadangkan tenaga ketara ketika impak, kata Foley.
“Jika ia dikawal sehingga ke akhirnya, pesawat tidak dikawal dengan berjaya. Sayap tidak digerakkan,” kata Foley.
Buku itu mendakwa, dua sayap yang ditemui menunjukkan bukti ia digunakan ketika juruterbang memperlahankan pesawat untuk mendarat dengan berhati-hati di atas air.
Foley berkata, satu analisis di ibu pejabat biro itu di sini pada sayap kedua ditemui di pulau Pemba, luar pantai Tanzania pada Jun 2016 mengenal pasti, ia ‘kemungkinan tidak digunakan.’
Namun pihak berkuasa Perancis menghalang seorang penganalisis Australia daripada ‘melakukan apa-apa yang berguna dari segi analisis’ terhadap sayap pertama yang ditemui.
Sayap pertama, dikenali flaperon, ditemui di kepulauan Perancis, di Reunion pada Julai 2015. Pihak berkuasa Perancis menahan flaperon itu sebagai bukti untuk sebarang pendakwaan potensi jenayah.
Foley berkata, bironya tidak dapat menyimpulkan, flaperon itu kehilangan kelebihan pandu arah kerana ia digunakan apabila pesawat menjunam ke dalam air.
Syarikat teknologi berpusat di Texas, Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity memperbaharui pencarian tahun ini berdasarkan faktor Malaysia akan membayar sehingga AS$70 juta (RM277.69 juta) jika ia dapat menemui bangkai pesawat atau kotak hitam.
Foley berkata, beliau masih berharap pencarian itu akan berjaya dalam tempoh beberapa minggu lagi.
“Jika tidak, sudah pasti, ia adalah kesedihan besar buat kami semua,” katanya. – Agensi