Home SemasaGlobal DoJ teruskan siasatan keatas 1MDB

DoJ teruskan siasatan keatas 1MDB

by Noor Sheila Amin

WASHINGTON, 22 Mei – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) akan meneruskan siasatan terhadap syarikat pembangunan strategik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia.

Jurucakap DoJ dalam emel kepada Reuters berkata, jabatan berkenaan komited dalam memastikan Amerika Syarikat (AS) dan sistem kewangan negara berkenaan tidak diancam oleh individu terbabit rasuah serta kleptokrat yang mahu menyembunyikan kemewahan diperoleh secara haram itu.

“Semua aset yang berjaya diperoleh semula akan digunakan bagi kepentingan rakyat selepas sekian lama mereka dibebankan dengan perilaku rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata kenyataan itu.

Kerajaan AS memfailkan aduan pada 2016 dan 2017 untuk memperoleh semua aset bernilai AS$1.7 bilion (RM6.75 bilion) membabitkan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Mereka mendakwa lebih daripada AS$4.5 bilion (RM17.87 bilion) diambil daripada 1MDB dan dilaburkan dalam beberapa syarikat serta akaun bank di AS serta beberapa negara lain.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun menafikan terdapat sebarang salah laku sejak skandal 1MDB mula diperkatakan pada 2015.

Namun, ketika sama beliau difahamkan bertindak menggantikan Peguam Negara dan beberapa pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum mengambil tindakan drastik menghentikan siasatan yang sedang berjalan pada masa itu.

Najib sebelum ini mendakwa sejumlah AS$681 juta (RM2.9 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya adalah derma dari kerabat Diraja Arab Saudi, sekali gus menafikan tuduhan bahawa wang itu diambil dari 1MDB. – Reuters

Related Articles

Leave a Reply