Home SemasaGlobal AS dan Korea Selatan bincang ancaman Korea Utara

AS dan Korea Selatan bincang ancaman Korea Utara

by Noor Sheila Amin

SEOUL, 20 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, hari ini membincangkan ancaman Korea Utara untuk membatalkan sidang kemuncak dengan Washington, menurut Pejabat Presiden Seoul.

Selepas menjalin hubungan yang baik sejak beberapa minggu lalu, Pyongyang tiba-tiba mengancam menarik diri daripada sidang kemuncak yang dirancang bulan depan.

Menurut agensi berita rasmi Utara, KCNA, ia susulan tuntutan AS yang mahukan “penamatan program nuklear secara sebelah pihak”.

Korea Utara juga membatalkan pertemuan peringkat tertinggi dengan Selatan pada saat-saat akhir, sebagai memprotes latihan tentera bersama antara Seoul dan Washington.

“Dalam perbualan telefon hari ini, Trump dan Moon bertukar-tukar pendapat mengenai pelbagai tindakan yang diambil oleh Korea Utara baru-baru ini,” menurut pejabat Moon dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menjalin kerjasama erat bagi menjayakan sidang kemuncak itu di Singapura pada 12 Jun ini. Ia akan menjadi pertemuan pertama antara Presiden AS dan pemimpin Korea Utara.

Terdahulu, menjelang Sidang Kemuncak dengan AS, Pyongyang memberi harapan dengan mengumumkan ia akan memusnahkan tapak ujian nuklearnya minggu depan.

Bagaimanapun, janji itu terbuka untuk ditafsirkan kedua-dua belah pihak memandangkan Utara sudah menghabiskan beberapa dekad membangunkan senjata atomnya, termasuk peluru berpandu yang mampu sampai ke AS. – AFP

Related Articles

Leave a Reply