Home PolitikPakatan Harapan Kedudukan ditentukan esok – Azmin

Kedudukan ditentukan esok – Azmin

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 20 Mei – Kedudukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor akan diputuskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, secara rasmi esok.

Menurut beliau, kenyataan media itu akan dikeluarkan oleh pihak Istana Selangor pada jam 9 pagi besok.

Mohamed Azmin berkata, baginda Sultan menitahkan demikian esok, namun beliau enggan mengulas kedudukannya sebagai Menteri Besar ketika ini.

“Alhamdulilah, pertemuan saya dengan Sultan Selangor berjalan lancar dan baginda amat gembira dengan penjelasan yang diberikan.

“Dalam mesyuarat tadi, selain isu Menteri Besar, isu berkaitan negeri Selangor turut dibincangkan. Baginda akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi pihak istana pada pagi esok,” katanya ketika ditemui ketika di perkarangan Istana Kayangan di sini, hari ini.

Beliau meninggalkan istana dengan menaiki kenderaan rasmi, jam 1.48 petang. Pertemuan hampir dua jam itu difahamkan bagi membincangkan dengan baginda mengenai jawatan Kabinetnya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Terdahulu, beliau tiba di istana itu pada jam 11.50 pagi. Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sama ada beliau menerima pelantikan sebagai Menteri Kabinet, kata Mohamed Azmin, perkara berkenaan juga akan dimaklumkan esok.

Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menemui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya bagi membincangkan jawatan Kabinetnya.

Dr Mahathir kelmarin mengumumkan nama 15 Menteri Kabinet termasuk menamakan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Istiadat angkat sumpah jawatan untuk Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pagi esok.

Related Articles

Leave a Reply