Home PolitikBarisan Nasional Najib tinggalkan kediaman, bertolak ke Pekan

Najib tinggalkan kediaman, bertolak ke Pekan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meninggalkan kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini, pagi ini dipercayai bagi menghadiri beberapa program rasmi di Pekan, Pahang.

Anggota Parlimen Pekan itu menaiki kereta Toyota Vellfire keluar pada kira-kira 9.20 pagi dengan diiringi oleh kenderaan polis.

Semalam, media tempatan melaporkan yang ketua Umno Bahagian Pekan itu dijadual merasmikan mesyuarat cawangan-cawangan Umno Bahagian Pekan.

Mengikut rancangan programnya, Najib dijangka tiba di kediaman rasminya di Seri Kenangan, Pekan kira-kira pukul 12 tengah hari ini. Najib dijadual menghadiri majlis berbuka puasa, solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat tarawih di Seri Kenangan.

Pergerakan keluar Najib ke Pekan adalah yang pertama sejak beliau membatalkan rancangan untuk bercuti ke luar negara untuk berehat selepas pilihan raya umum pada 9 Mei, yang menyaksikan kerajaan BN pimpinannya tewas dan digantikan dengan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini, sejak Sabtu lepas.

Terdahulu, lebih 50 anggota Pergerakan Puteri Umno diketuai Exconya Khaidirah Abu Zahar atau Dira hadir di kediaman Najib bagi menyatakan sokongan terhadap bekas presiden parti itu.

Dira ketika ditemui pemberita berkata bekas presiden parti itu memberi pesanan supaya Puteri Umno tidak mengalah dan teruskan perjuangan.

“Dia (Najib) sangat positif, pesanannya lagi supaya pergerakan Puteri Umno sentiasa bersatu,” katanya.

Sejak Sabtu lepas juga, kediaman Najib di Taman Duta dikawal ketat anggota Polis Diraja Malaysia dan petugas media dari dalam dan luar negara berkampung di kawasan berkenaan demi menanti sebarang perkembangan terkini berkaitan bekas perdana menteri itu.

Pada Selasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Related Articles

Leave a Reply