Home SemasaGlobal Myanmar belum bersedia terima Rohingya – Ursula Mueller

Myanmar belum bersedia terima Rohingya – Ursula Mueller

by Noor Sheila Amin

Yangon, 8 April – Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Ursula Mueller, menyatakan Myanmar masih belum bersedia menerima penghantaran pulang pelarian Rohingya, selepas lawatan enam hari ke Myanmar.

Ia berikutan dakwaan Myanmar melakukan pembersihan etnik dan mengakibatkan hampir 700,000 etnik Muslim itu melarikan diri ke Bangladesh.

“Daripada apa yang saya lihat dan dengar, tidak ada akses kepada perkhidmatan kesihatan, bimbang tiada perlindungan, tiada tempat tinggal adalah keadaan yang tidak kondusif untuk mereka kembali,” kata Penolong Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Ursula Mueller, selepas lawatan enam hari ke Myanmar.

Kerajaan Myanmar berjanji untuk melakukan yang terbaik dalam memastikan penghantaran pulang di bawah perjanjian yang ditandatangani dengan Bangladesh November lalu adalah adil, bermaruah dan selamat.

Myanmar setakat ini sudah mengesahkan beberapa ratus pelarian Muslim Rohingya untuk penghantaran pulang.

“Kumpulan itu akan menjadi kumpulan pertama pelarian dan boleh kembali ke Myanmar mengikut keselesaan mereka,” kata seorang pegawai Myanmar pada bulan lalu.

Mueller diberikan akses yang jarang diberikan di Myanmar, termasuk kebenaran melawat kawasan paling terjejas di negeri Rakhine, dan bertemu dengan menteri serta pihak hal ehwal pertahanan sempadan, termasuk pemimpin de facto Aung San Suu Kyi dan pegawai awam lain.

Related Articles

Leave a Reply