KUALA LUMPUR, 27 DIS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan terkait isu penting bersama mantan Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, perbincangan antara Thaksin yang juga penasihat tidak rasmi Pengerusi ASEAN itu melibatkan beberapa isu serantau yang merupakan perkara penting.
“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.
“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau (Thaksin) memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Jumaat.
Jelas Anwar, beliau dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi serta persefahaman seperti yang dikongsikan bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya. -airtimes.my
#AnwarIbrahim #Thaksin #SelatanThai #Myanmar #Malaysia #Thailand #Airtimes