Home Pertahanan dan Keselamatan Guna bot nelayan tempatan, 5 PATI Myanmar ditahan

Guna bot nelayan tempatan, 5 PATI Myanmar ditahan

by Muaz Rizqi

GEORGETOWN, 30 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan oleh 5 warga Myanmar di kedudukan 32.7 batu nautika barat laut Muka Head sekitar jam 12.10 tengahari semalam.

Pengarah APMM Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda APMM telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang berpengkalan di Pantai Remis, Perak dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin OP TANJUNG.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan 5 warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 26 hingga 47 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot,

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya lagi.

Abd Razak berkata, bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 500 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Pihak APMM mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini,

“APMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” jelasnya lagi.

Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply