Home Pertahanan dan Keselamatan AUKUS: Hormati prinsip dan pendirian Malaysia – Menteri Pertahanan

AUKUS: Hormati prinsip dan pendirian Malaysia – Menteri Pertahanan

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=JqErvIj8NgQ[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan hari ini menyatakan pihaknya telah menegaskan prinsip dan pendirian Malaysia berhubung penubuhan AUKUS adalah kekal dan tidak berubah.

Menurut Menteri Pertahanan, beliau telah menyatakan pendirian tersebut ketika diberikan penerangan berhubung perkembangan AUKUS oleh wakil kerajaan Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau menyatakan perkara tersebut ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Semasa sesi penerangan tersebut, Tuan Dipertua, saya telah menjelaskan bahawa pendirian dan prinsip Malaysia berhubung dengan AUKUS ini adalah tetap dan tidak berubah,

“Di mana Malaysia menggesa agar semua pihak berkaitan sama ada di dalam mahupun di luar AUKUS ini, untuk saling menghormati dan mematuhi sepenuhnya instrumen perundangan negara dan perundangan antarabangsa yang sedia ada,

“Terutamanya berhubung dengan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear di dalam perairan negara,

“Ini termasuklah instrumen-instrumen di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut ataupun United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS), Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapons Free Zone, SENWF) dan Deklarasi ASEAN ZOPFAN,” katanya.

Jelas Tok Mat, beliau telah diberikan penerangan oleh Panglima Angkatan Tentera Australia berhubung pembangunan lapan buah kapal selam berkuasa nuklear sebelum ia diumumkan oleh AUKUS.

“Saya tekah diberikan penerangan pada 9 Mac bahawa pembangunan lapan buah kapal selam berkuasa nuklear tersebut hanya menggunakan enjin berkuasa nuklear,  dan tidak akan dilengkapkan dengan senjata nuklear,

“Selaras dengan komitmen Australia di bawah Treaty of Non-Proliferation of Nuclear Weapons,” ujar beliau semasa menjawab soalan lisan daripada wakil rakyat Bagan, Lim Guan Eng.

Selain mendapat penerangan daripada wakil Australia, beliau turut dihubungi oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd James Austin III dan mengadakan pertemuan dengan Minister of State at the Ministry of Defence, United Kingdom.

Menteri Pertahanan turut menyatakan Malaysia telah menggesa semua pihak, di luar atau dalam pakatan AUKUS, untuk tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi yang boleh mengganggu ketenteraan dan keselamatan dirantau ini.

AUKUS telah mengumumkan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear oleh Tentera Laut Diraja Australia.

“Sebagai anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali,

“Ini termasuklah dalam isu berkaitan perlucutan senjata nuklear, pencegahan percambahan nuklear, dan penggunaan teknologi nuklear secara aman,

“Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta kestabilan dirantau ini kekal, terpelihara

Malaysia menggesa agar semua pihak sama ada dalam mahupun di luar Pakatan AUKUS ini untuk tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi yang boleh mengganggu ketenteraan dan keselamatan dirantau ini,

“Walau bagaimanapun, Malaysia sentiasa menghormati hak semua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing ataupun capacity building mereka masing-masing, mengambil kira kehendak dan kepentingan masing-masing,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply