Home Pertahanan dan Keselamatan BAKAT ATM siapkan bungkusan Hari Raya, hargai petugas ATM di Aidilfitri

BAKAT ATM siapkan bungkusan Hari Raya, hargai petugas ATM di Aidilfitri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan aktiviti pembungkusan barangan Hari Raya Aidilfitri 2023 sebagai tanda penglibatan dan keprihatinan isteri-isteri anggota tentera kepada warga ATM.

Markas ATM memaklumkan, Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah di Dewan Seroja, Kem KEMENTAH, semalam.

Menurut MK ATM, aktiviti pembungkusan barangan Hari Raya Aidilfitri Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM bersama BAKAT Perkhidmatan dan ahli-ahli BAKAT ini adalah merupakan acara tahunan yang dilaksanakan oleh BAKAT ATM dan Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu.

“Aktiviti yang melibatkan pembungkusan sebanyak 300 buah beg ini dilaksanakan sebagai simbolik penglibatan dan keprihatinan isteri-isteri warga tentera sebagai ahli BAKAT di dalam persiapan pembungkusan Beg Hari Raya berkenaan,

“Bungkusan Hari Raya berkenaan juga adalah bagi menghargai pengorbanan dan khidmat bakti setiap perwira dan perajurit ATM yang bertugas demi memastikan kedaulatan serta kesejahteraan rakyat negara ini terus terpelihara,

“Di samping itu, ia juga sebagai sokongan semangat dan moral bagi mereka menyambut hari lebaran tahun ini tanpa keluarga di sisi,” jelas MK ATM dalam kenyataan, pada Rabu.

Tambah kenyataan itu  lagi, pelbagai sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan diterima dari syarikat atau badan korporat serta individu perseorangan dalam menyediakan bungkusan beg ini yang akan diedarkan kepada anggota yang bertugas semasa sambutan Aidilfitri.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Mejar Jeneral Mohamed Fauzi Khamis; Ketua Eksekutif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT), Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin dan Pengerusi Jemaah BAKAT Perkhidmatan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply