Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM berkas 3 warga India, 15 PATI Myanmar cuba lolos sempadan Malaysia

ATM berkas 3 warga India, 15 PATI Myanmar cuba lolos sempadan Malaysia

by Air Times News Network

BUKIT KAYU HITAM, 27 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara India dan Myanmar yang cuba meloloskan diri ke negara ini menggunakan laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut dibuat di 2 lokasi di Bukit Kayu Hitam, Kedah sektor Operasi (Op) Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia ( KTJ 6 Bgd) dan di Tanah Merah, Kelantan di sektor Op Benteng KTJ Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd).

“Dalam kejadian pertama di KTJ 6 Bgd, pada 26 Oktober jam 11.00 pagi, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan dan menahan sekumpulan individu di kawasan belukar dalam kebun getah di sekitar Kemajuan Tanah Bukit Tangga,

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya seramai 15 orang adalah PATI Myanmar berumur antara 20 hingga 42 tahun terdiri daripada 14 lelaki dan seorang perempuan yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Seorang perempuan dan 2 lelaki warganegara India ditahan di Tanah Merah, Kelantan

Manakala dalam kejadian kedua di KTJ 8 Bgd, pada 26 Oktober  jam 7.50 pagi, bertindak daripada maklumat perisikan pasukan beroperasi telah menahan 3 orang individu di dalam sebuah kenderaan jenis Produa Kembara di sempadan negara di Tanah Merah.

“Hasil pemeriksaan mendapati meraka adalah warganegara India yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, terdiri daripada 2 lelaki dan seorang perempuan berumur antara 30 hingga 33 tahun,” ujarnya.

Menurut Markas 2 Div, kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Bukit Bunga.

Turut dirampas dalam kedua-dua kejadian adalah sebuah kenderaan jenis Produa Kembara; 13 unit telefon bimbit; 10 kad pengenalan diri warganegara Myanmar; 4 passport warganegara Myanmar dan Thailand; 17 beg pakaian; wang tunai dalam matawang India, Malaysia, Myanmar serta Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 15,584.67. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply