Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot PATI Myanmar dan nelayan tempatan gaji kru bawah umur

APMM tahan bot PATI Myanmar dan nelayan tempatan gaji kru bawah umur

by Muaz Rizqi

GEORGETOWN, 4 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang telah menahan 2 buah bot nelayan tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan negara, pada Selasa.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, anggota APMM telah menahan 2 buah bot nelayan kelas A dan C itu ketika melaksanakan rondaan Op Pertiwi serta Op Tanjung.

Kedua-dua bot tersebut ditahan pada jam 9.43 pagi dan 5.00 petang.

Beliau menjelaskan penahanan pertama dilakukan oleh anggotanya setelah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan kelas C di kedudukan 17 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

“Bot yang berpengkalan di Bagan Panchor, Perak dikendalikan 4 kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 35 hingga 40 tahun, 3 daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi dipercayai memiliki dokumen pengenalan diri meragukan,

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala penahanan kedua, Abd Razak berkata, anggotanya telah menahan bot nelayan kelas A yang berpangkalan di Sungai Udang di kedudukan 2.8 batu nautika barat Batu Kawan.

Tambahnya bot tersebut yang dikendalikan 3 kru warga tempatan berumur dalam lingkungan 12 hingga 16 tahun dipercayai dalam perjalanan menuju ke sangkar ikan berdekatan.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (pekerjaan) 1966 menggajikan pekerja di bawah umur, ujarnya lagi.

Menurut Abd Razak, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dan muatan makanan ikan dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban serta Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM bagi siasatan lanjut.

Dalam masa yang sama beliau menjelaskan, masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka.

“Di samping itu, APMM juga memandang serius pengusaha atau majikan yang menggajikan atau mengeksploitasi pekerja di bawah umur dan sesekali tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada,

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply