Georgetown, 11 Apr – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang menahan 4 warga Myanmar termasuk tekong selepas didapati mengendalikan bot nelayan tempatan tanpa dokumen yang sah semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda APMM telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Khas Pagar Laut 1/2023.
Beliau berkata, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi.
“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” jelasnya.
Abd Razak berkata, bot serta kesemua kru ditahan bersama kira-kira 300 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.
“Pihak APMM mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini,
“Beliau menegaskan bahawa pihak APMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” tambahnya lagi. -airtimes.my