Home SemasaGlobal Letupan bom di Yala, enam orang cedera

Letupan bom di Yala, enam orang cedera

by Noor Sheila Amin

Yala, 15 Feb – Tiga pelajar perempuan dan tiga sukarelawan keselamatan tempatan cedera apabila sebutir bom meletup berhampiran sebuah sekolah rendah di daerah Muang, Yala di selatan Thailand hari ini.

Menurut Ketua Polis Yala Mej Jen Krissada Keawjandee, letupan bom pada pukul 7.30 pagi waktu tempatan itu berlaku ketika murid-murid mula memasuki Sekolah Rendah Pracha Uthi di Mukim Benang Sareng.

“Dua daripada tiga anggota keselamatan itu mengalami kecederaan parah manakala ketiga-tiga murid terbabit cedera ringan dan dihantar ke Hospital Yala untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Setakat ini menurutnya, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Letupan bom pagi ini menyusuli kejadian serangan senjata api terhadap pos kawalan keselamatan di Mukim Takpoyak di Yinga, Narathiwat 11.30 malam semalam tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Pada 11.45 malam semalam waktu tempatan, lapan lelaki bersenjata turut menyerang pos kawalan keselamatan di Mukim Kosit, daerah Takbai dan melarikan sebuah kenderaan, tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

-Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply