Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Dr Mahathir Kena Insaf Sendiri, Taubat – Hadi

Dr Mahathir Kena Insaf Sendiri, Taubat – Hadi

by Air Times News Network

MARANG, 4 Jan – “Dia orang tua dah. Biar dia insaf sendirilah,” demikian jawapan balas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap serangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel beliau sebagai kafir dan pengkhianat.

Abdul Hadi tidak menafikan kata-kata bekas perdana menteri itu agak melampau namun masih tetap memaafkannya dan berharap beliau berfikir dengan sebaiknya serta insaf atas perbuatannya.

“Biar dia fikir dan duduk sorang-sorang, dia kena baca banyak buku. Tapi jangan pula baca buku perubatan saja, buku (agama) Islam pun kena baca. Saya biarkan dia insaf dan mudah-mudahan dia insaf. Antara saya dengan dia, saya maafkan. (Tapi) antara dia dengan Tuhan, dia kena taubat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang melabelkan Abdul Hadi sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO, selepas majlis pelancaran Markas Besar PAS bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) N20 Pengkalan Berangan, dekat sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut menyatakan bahawa Dr Mahathir, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bagaikan sudah terdesak hingga sanggup melakukan perkara yang mampu mengundang padah kepada dirinya sendiri.

“Dia memang terdesak, sudah rapat ke dinding dan dia dah tak boleh pergi dah. Maka dia rempuh dinding itu dan tidak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jadi, janganlah pecahkan kepala sendiri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai isu Amanat Hadi yang dibangkitkan Dr Mahathir, Abdul Hadi menegaskan bahawa beliau tidak mahu mengulas lanjut dan jika masih ada yang mahu menyelongkarnya semula perlulah meneliti buku yang pernah ditulis olehnya.

“Saya dah tulis buku dan buku dicetak beberapa kali. Jadi, saya tak mahu ulang balik, rujuk buku itu sudah cukup,” tambahnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang keluar daripada PAS Ahad lalu, Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebenarnya telah lama ‘meninggalkan PAS’ dan mengibaratkan ‘orang sudah mati lama dah tetapi baru nak tanam’.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply