KUALA LUMPUR, 16 Okt – Perintah berkurung yang dilaksanakan di beberapa perairan di Sabah sejak 2014, akan dijenamakan semula sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) Sabah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah No.1 itu akan berkuat kuasa pada pukul 6 petang esok bagi menyambung perintah berkurung Sabah No. 220 yang akan tamat pada 17 Oktober 2023.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas penilaian keselamatan menyeluruh melibatkan agensi dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Perintah kawalan pergerakan ini melibatkan perairan sama kecuali di Tawau memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan keselamatan di perairan daerah tersebut yang memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Razarudin, perintah berkurung yang dikuat kuasakan sejak 16 Julai 2014 di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi menangani masalah pencerobohan serta mengekang ancaman pengganas Sulu serta penculikan untuk wang tebusan (KFR) di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Perintah berkurung ini telah diperluaskan untuk meliputi kawasan Tawau, Kinabatangan dan Beluran,
“Perintah Kawalan Pergerakan ini diperlukan bagi memastikan perairan tidak diceroboh mahupun diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan rakyat Sabah di kawasan ESSZONE,” ujarnya lagi.
Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan.-airtimes.my