Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM: 55 PATI ditahan, 69 pambot dirampas dalam Operasi Gasak Laut

ESSCOM: 55 PATI ditahan, 69 pambot dirampas dalam Operasi Gasak Laut

by Nurulhuda

LAHAD DATU, 4 Sept – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan seramai 55 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas 69 pam bot dalam Operasi Gasak Laut secara serentak dan bersepadu di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), pada Sabtu.

Operasi yang bermula kira-kira 6 pagi dan berakhir 6 petang itu dilaksanakan meliputi 4 daerah iaitu Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, Operasi Gasak Laut bertujuan bagi membendung penyalahgunaan bot pam yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Jelasnya, ketika pemeriksaan seramai 55 PATI yang terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkaitan,

“Selain itu, sebanyak 88 bot pam milik warga tempatan serta warga asing diperiksa secara serentak di semua perairan berkenaan dan 69 bot pam ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Hamzah memaklumkan, semua bot pam yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, berdasarkan rekod tangkapan dan pemantauan pihak berkuasa mendapati bot pam sering digunakan elemen penjenayah rentas sempadan yang ingin melakukan aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESSZONE.

Operasi Gasak Laut ESSCOM ini melibatkan seramai 375 pegawai dan anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Majlis Keselamatan Negara (MKN); JPDS; Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Angkatan Pertahanan Awam (APM); Jabatan Laut Malaysia; Pejabat Kesihatan Daerah; Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Daerah serta Perbandaran.

Tegasnya, ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi untuk membanteras penggunaan pambot haram dari semasa ke semasa.

“Semua pemilik pambot di perairan pantai timur Sabah dinasihatkan untuk mendapatkan lesen sah yang dikeluarkan oleh JPDS bagi mengelak daripada tindakan penguatkuasaan,

“Masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di pantai timur Sabah ke Pusat Operasi Esscom di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply