Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: ESSCOM perhebat operasi bersepadu banteras kemasukan PATI

#Keselamatan: ESSCOM perhebat operasi bersepadu banteras kemasukan PATI

by Nurulhuda

SEMPORNA, 25 Jun – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus memperhebatkan Operasi Bersepadu di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat serta pelancong ke negeri ini.

Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis, Victor Sanjos berkata, operasi bersepadu yang dijalankan untuk mengesan dan menangkap pendatang tanpa izin (PATI) ini dilaksanakan sejak 20 Jun lalu di Semporna.

“Operasi itu menyasarkan penempatan yang dikenalpasti di dominasi oleh PTI iaitu di sekitar Pasar Pekan Semporna dan kawasan setinggan Kampung Perigi, Musalah, Bandau-Bangau serta premis reflexologi,

“Sepanjang operasi bersepadu itu, sebanyak 74 rumah dan premis diperiksa membabitkan pemeriksaan 1,166 individu,

“Pemeriksaan itu membawa kepada tangkapan 7 lelaki dewasa iaitu 6 mengikut Seksyen 51(5)(b) manakala seorang lagi mengikut Seksyen 6(1)(c),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Selain penguatkuasaan undang-undang sedia ada, Victor berkata, turut dilaksanakan pemotongan sambungan haram elektrik.

Menurutnya, sebanyak 45 kilogram kabel elektrik dirampas Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta rampasan 37 batang kayu pelbagai saiz dengan anggaran nilai rampasan RM1,805.

“Di samping itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan enam keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,

“Pada masa yang sama, ESSCOM turut mengkoordinasi Operasi Cegah Jenayah Pondohan di kawasan perairan Sangaban,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, ESSCOM turut menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terbabit khususnya kepada 150 pegawai dan anggota yang menjayakan operasi bersepadu berkenaan.

“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZONE bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam,

“Masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusar Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApps di talian 011-63311072,” katanya lagi. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply