Home Pertahanan dan Keselamatan #Keselamatan: ESSCOM laksana Op Gasak Laut, banteras jenayah rentas sempadan

#Keselamatan: ESSCOM laksana Op Gasak Laut, banteras jenayah rentas sempadan

by Nurulhuda

TAWAU, 11 Jul – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah memeriksa 13 buah pambot dan menahan 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Gasak Laut (Pambot), hari ini.

Komandan ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP), Victor Sanjos berkata, kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan di sepanjang Batu 3 sehingga Batu 5 perairan Tawau.

Beliau menjelaskan, operasi ini dilaksanakan bagi membendung penyalahgunaan pambot yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Operasi yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan seramai 96 orang pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan serta keselamatan ini menyaksikan sebanyak 13 buah pambot diperiksa, melibatkan 26 orang individu,

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5 buah pambot dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS),

“Manakala 4 orang PATI yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), AKta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Victor menjelaskan, pihaknya akan terus komited menguatkuasakan dan membanteras penyalahgunaan pambot, kemasukan PATI dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan di sekitar kawasan ESSZONE.

Jelasnya, operasi bersepadu yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI.

“Selain itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan semua pemilik pambot di perairan ESSZONE supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat di ESSZONE agar terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan pambot ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply