Home Pertahanan dan Keselamatan Op Bersepadu: ESSCOM tahan 26 PATI di Sandakan

Op Bersepadu: ESSCOM tahan 26 PATI di Sandakan

by Nurulhuda

SANDAKAN, 1 Feb – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan seramai 26 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi (Op) Bersepadu di Daerah Sandakan yang dilaksanakan pada 25 Januari sehingga semalam.

Komandan ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Hamzah Ahmad berkata, sepanjang tempoh operasi tersebut, sebanyak 410 buah rumah atau premis di 12 lokasi dengan melibatkan 772 pemeriksaan fizikal telah dilaksanakan.

“Kesemua 26 PATI telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959-63 sebelum diusir pulang ke negara asal,

“Manakala, nilai jumlah rampasan Op Bersepadu adalah sebanyak RM16,951.00 dengan batang kayu disyaki jenis tangar bulat menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi selain barangan terkawal lain,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi tersebut.

Beliau berkata, pihaknya terus giat mengkoordinasikan misi menguatkuasakan undang-undang di samping menegkang elemen jenayah rentas sempada melibatkan kemasukan PATI.

Tambahnya, operasi ini bertujuan untuk mengesan dan menangkap PATI dengan mensasarkan lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar Sandakan yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

Hamzah menjelaskan, operasi ini melibatkan seramai 81 orang pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Selain itu operasi ini juga melibatkan kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Jabatan Sukarela Malaysia (RELA); Majlis Perbandaraan Sandakan dan Sabah Electricity Sdn.Bhd,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Justeru, ESSCOM menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM dengan segera,” katanya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply