Home Pertahanan dan Keselamatan ESSZONE: Perintah berkurung dilanjutkan, kekang pencerobohan pengganas

ESSZONE: Perintah berkurung dilanjutkan, kekang pencerobohan pengganas

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 9 Jun – Ancaman penjenayah dari kumpulan pengganas khususnya dari kumpulan militan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh kawasan perairan untuk melakukan jenayah rentas sempadan terutama di Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir hari ini, dilanjutkan sehingga 24 Jun depan.

Menurutnya, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar, antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi,

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan,

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Idris menjelaskan, perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

Tambahnya, ia juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” ujarnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply