Home Pertahanan dan Keselamatan LIMA’23: Segmen baharu bakal gegar Langkawi

LIMA’23: Segmen baharu bakal gegar Langkawi

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=-8ugRFqj5O8[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 yang dijadualkan pada 23 Mei hingga 27 Mei tahun hadapan akan memperkenalkan beberapa segmen baharu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata, pameran dwitahunan itu akan memperkenalkan beberapa segmen.

Antaranya segmen pertunjukan dron dan perlumbaan dron, menampilkan segmen teknologi angkasa, Forum CEO Syarikat Penerbangan, program menyeluruh untuk remaja termasuk berkaitan pendidikan, kerjaya serta pertandingan permainan elektronik (egames), dan segmen wanita dalam pertahanan.

“Termasuk segmen keselamatan siber dalam industri penerbangan serta maritim dan semestinya pameran aset serta pertunjukan udara yang terbaik dalam sejarah,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak menandatangani pelantikan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai penganjur LIMA 2023.

Hishammuddin menyatakan LIMA 2023 merupakan edisi yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak termasuk delegasi dan pempamer antarabangsa.

“Demi memastikan kelancaran LIMA 2023, penganjurannya akan sekali lagi diselaraskan bersama oleh Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Malaysia,

“Manakala Syarikat Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd pula telah dilantik sebagai penganjur bersama pameran ini,” jelasnya.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Kanan Pertahanan turut menjangkakan LIMA 2023 akan menjadi pameran terbesar dalam sejarah penganjurannya.

Sebanyak 600 syarikat pempamer dan 20 Astaka Negara disasarkan untuk pameran kali ini. Selain daripada itu, 110 aset udara serta 110 aset maritim dijangka akan terlibat dalam LIMA 2023.

“Ini sekaligus menjadi medan terbaik bagi syarikat-syarikat industri pertahanan dari seluruh dunia khususnya berkaitan aeroangkasa dan maritim untuk kembali bertemu secara bersemuka selepas lama tidak berpeluang melakukannya akibat pandemik COVID-19 dan penangguhan LIMA 2021,

“Ini secara langsung juga dapat membuka lebih peluang dalam usaha menghubung dan mempromosikan kerjasama strategik antara syarikat industri pertahanan tempatan dengan antarabangsa selari dengan matlamat Dasar Industri Pertahanan Negara yang sedang dirangka ketika ini,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply