SABAH, 7 Dis – Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menahan seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi (Op) Bersepadu di Daerah Lahad Datu yang dilaksanakan pada 1 hingga 6 Disember lalu.
Komandan ESSCOM, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Hamzah Ahmad berkata, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 1,331 pemeriksaan fizikal terhadap orang, 205 buah kenderaan serta 486 rumah dan premis telah dilaksanakan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 19 PATI ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal,
“Manakala, sebanyak 26 keping saman trafik dan 5 saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, jumlah nilai rampasan Op Bersepadu adalah sebanyak RM2,002.00 yang terdiri daripada rokok seludup pelbagai jenama dan ia sekaligus merupakan nilai rampasan tertinggi.
Beliau berkata, Op Bersepadu itu dijalankan bagi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Tambahnya lagi, 14 kompaun Majlis Daerah turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen perdagangan dan pengendalian makanan telah dikeluarkan selain tindakan pemotongan penyabung wayer elektrik haram di Kampung Panji.
Menurutnya, operasi ini melibatkan seramai 80 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Pejabat Daerah; Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); JPJ dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
“Selain itu operasi ini juga melibatkan kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah; Jabatan Sukarelawan Malaysia; Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM); Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Majlis Daerah dan Sabah Electricity Sdn.Bhd,” ujarnya lagi.
Hamzah turut menjelaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.
Sehubungan itu, masyarakat setempat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusat Operasi ESSCOM dengan kadar segera. -airtimes.my