JOHOR BAHRU, 15 DIS – Malaysia memilih Thales untuk menaik taraf sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menerusi pemasangan radar pengawasan sekunder generasi baharu RSM NG bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan operasi penerbangan di selatan Semenanjung.
Pemodenan itu melibatkan penggantian radar sekunder sedia ada dengan sistem RSM NG yang berkeupayaan menjejak sehingga 2,000 pesawat serentak serta menyokong 64 aliran data serentak ke Pusat Kawalan Trafik Udara. Sistem berkenaan turut mengintegrasikan pengesanan Mod S dan ADS B bagi mengurangkan gangguan isyarat serta mempercepat pengesanan kedudukan pesawat dengan lebih tepat.
Thales melaksanakan projek ini bersama rakan tempatan, Novatis, bagi menaik taraf stesen radar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia. Naik taraf itu akan memperkukuh pengawasan pendekatan di lapangan terbang tersebut serta meningkatkan perkhidmatan pengawasan di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur.
Dengan penambahan radar RSM NG, rantau ini kini mempunyai dua sistem radar Thales yang menyediakan liputan menyeluruh merentasi Semenanjung Malaysia serta Malaysia Timur. Keupayaan ini membolehkan pengawal trafik udara menjejak kedudukan pesawat secara berterusan tanpa terjejas oleh keadaan operasi atau persekitaran.
Radar pengawasan sekunder RSM NG akan dipasang dengan gangguan perkhidmatan minimum di sebuah lapangan terbang yang mengendalikan sekitar lima juta penumpang setahun. Thales bertanggungjawab mengilang, menghantar dan memasang sistem radar tersebut bersama dua stesen ADS B sebagai penyelesaian pengawasan pelengkap untuk memperluas liputan serta meningkatkan keupayaan kawalan trafik udara.
Menurut Thales, sistem baharu ini memberi beberapa manfaat utama termasuk pengukuhan pengawasan ruang udara serta kedaulatan negara melalui penyediaan maklumat masa nyata mengenai pesawat kooperatif. Selain itu, kebolehpercayaan pengenalpastian pesawat dipertingkat menerusi meta sensor yang memastikan kesinambungan maklumat walaupun berdepan gangguan seperti jamming atau spoofing.
Aspek keselamatan siber turut diberi penekanan apabila RSM NG dilengkapi kemas kini perlindungan digital terkini bagi melindungi data pengawasan kritikal daripada ancaman siber yang semakin kompleks.
Pengarah Negara Thales di Malaysia, Florian Riou, berkata gabungan kepakaran tempatan Novatis dan teknologi terkini Thales dalam kawalan serta pengawasan trafik udara mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu terhadap pemodenan pengurusan trafik udara negara.
“Kontrak baharu ini menandakan satu langkah penting dalam pemodenan Lapangan Terbang Johor Bahru dan membolehkan Thales menyokong Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dalam melaksanakan Pelan Strategik Digitalnya,” katanya dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan baru baru ini. – airtimes.my



