Home Semasa Helikopter terhempas: Juruterbang ditemukan maut di lokasi kejadian

Helikopter terhempas: Juruterbang ditemukan maut di lokasi kejadian

by Air Times News Network

BIDOR, 12 Sept – Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLARCC) dan dipercayai terhempas di Bidor semalam ditemui maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira jam 9.30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. 5 minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada dalam kokpit,

“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian jam 10.12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat,

“Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, hari ini.

Mohd Yusri berkata, siasatan mendapati juruterbang itu adalah Tsz Kin Richard Chan, 58, adalah warganegara Hong Kong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Katanya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Pada masa sama, pihak CAAM turut mengesahkan bangkai helikopter Eurocopter EC120B, pendaftaran N409H telah ditemui oleh helikopter TUDM, RESCUE01.

“Bangkai pesawat dan mangsa ditemui berhampiran Kampung Kenangan, Bidor jam 8.18 pagi,” jelasnya.

Menurut CAAM, siasatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagaian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply