Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS kekal anggap UMNO rakan kerjasama agenda Penyatuan Ummah

PAS kekal anggap UMNO rakan kerjasama agenda Penyatuan Ummah

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Sept – PAS kekal menganggap semua pihak yang bernaung di bawah gagasan Penyatuan Ummah termasuk UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) terutama dalam membina negara yang baik dan diredhai Tuhan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bermesyuarat semalam memutuskan terus konsisten dan komited dengan agenda Penyatuan Ummah.

“Penyatuan Ummah yang menjadi paksi utama kepada perpaduan nasional di antara orang Melayu-Islam, kaum Bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di negara ini,

“Keadaan ini sekaligus akan menjadi formula utama ke arah kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, PAS akan terus bersikap terbuka serta sedia mengadakan pertemuan, perbincangan dan perundingan bersama semua rakan-rakan ta’awun dengan memfokuskan kepada titik-titik persamaan dan merapatkan sebarang jurang perbezaan demi kebaikan negara serta rakyat.

“Ini adalah juga selaras dengan usul yang dibawa oleh Dewan Ulamak PAS Pusat dan disokong sebulat suara dalam Muktamar PAS Ke-68 di Alor Setar baru-baru ini,

“PAS juga tetap dengan penegasan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak menerima konsep khemah besar tajaan mana-mana pihak sekalipun dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini,” ujarnya.

Menurutnya, PAS amat yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti Melayu-Islam sahaja akan dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa serta budaya seterusnya akan diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu sejarah hitam lampau berulang kembali. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply