Home Semasa Perarakan kematian guna helikopter, kuda: Juruterbang helikopter antara 7 lelaki dirakam percakapan

Perarakan kematian guna helikopter, kuda: Juruterbang helikopter antara 7 lelaki dirakam percakapan

by Bernama

IPOH, 6 Dis – Polis telah merakam percakapan tujuh individu yang dipercayai terlibat dengan perarakan yang diiringi menggunakan khidmat helikopter dan kuda di sekitar pekan Ipoh melibatkan kematian seorang pemilik kedai pakaian tradisional India tertua di Tanjung Malim, 27 Nov lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, individu itu ialah juruterbang helikopter, wakil dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengurus mayat, pengurus syarikat acara, waris keluarga, pemilik kuda serta pemilik helikopter berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas hasil siasatan selesai.

“Hasil siasatan mendapati mereka tidak mendapat kebenaran untuk mengadakan perarakan kerana ia diadakan secara ad hoc, tiada dalam perancangan pada awalnya.

“Namun, anak-anak (mendiang) ambil keputusan untuk membuat perarakan bagi membawa mayat ke tanah perkuburan. Bagaimanapun, hasil siaatan mendapati juruterbang helikopter itu mendapat kebenaran untuk melakukan penerbangan rendah dalam perarakan itu,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tahun 2021 melibatkan 65 penuntut terdiri daripada 31 lelaki dan 34 wanita di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Ipoh hari ini.

Kejadian itu turut tular di laman media sosial memaparkan rakaman video sebuah helikopter terbang rendah dan menaburkan bunga mengiringi perarakan itu.

Perarakan turut disertai beberapa individu yang dilihat menunggang kuda dikatakan dari rumah mendiang ke tempat pengebumian.- Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply