Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Tiada keperluan pindahkan pangkalan TUDM sedia ada – Hishammuddin

Tiada keperluan pindahkan pangkalan TUDM sedia ada – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Semua landasan terbang di pangkalan-pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengikut standard piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang diaudit secara berkala oleh Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) dan TUDM.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, tiada keperluan bagi kerajaan untuk memindahkan pangkalan TUDM sedia ada ke lokasi lain walaupun kem-kem tersebut berada di kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian yang ditetapkan.

“Kesemua pangkalan itu mematuhi SOP bagi pengoperasian penerbangan pesawat serta piawaian ketat yang ditetapkan ICAO,

“Landasan terbang di pangkalan itu juga mengikut standard piawaian ICAO yang diaudit secara berkala oleh pihak berkuasa CAAM dan TUDM sendiri,

“Untuk makluman, faktor keselamatan penerbangan di kesemua pangkalan-pangkalan TUDM telah mengambil kira kriteria keselamatan seperti keselamatan persekitaran landasan terbang termasuk laluan berlepas dan mendarat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), yang menyakan apakah kerajaan akan mengkaji semula status lokasi pangkalan-pangkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak lagi strategik.

Menurutnya, lokasi pangkalan TUDM seperti di Butterworth, Labuan dan Kuantan, ia adalah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekiranya jet pejuang terhempas kerap berlaku, seperti nahas pesawat Hawk 108 yang baru terjadi pada 16 November 2021 lalu dan lain-lain insiden di pangkalan.

Hishammuddin menjelaskan, walaupun berada dalam kepadatan penduduk yang tinggi, selagi ia menepati piawaian maka tiada keperluan untuk pihak Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memindahkan atau membuat keputusan drastik kedudukan pangkalan kem-kem TUDM sedia ada.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah prosedur piawaian anak kapal seperti aspek latihan, kemahiran dan kompetensi, prosedur kejuruteraan yang merangkumi aspek penyelengaraan dan kelayakan terbang (airworthiness) bedasarkan Standard Aviation Authority dalam negara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pengeluar produk tulen (OEM),

“Kesemua ini adalah merupakan prosedur operasi standard (SOP) bagi operasi penerbangan pesawat disamping piawaian ketat yang ditetapkan oleh ICAO bagi kesemua pengkalan-pengkalan TUDM,
“Pihak MINDEF dan ATM akan berusaha untuk menambahbaik SOP-SOP dan langkah-langkah keselamatan sedia ada demi memastikan keselamatan anggota dapat dipertingkatkan,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply